Khutbah Terakhir Nabi Muhammad SAW
9 ZULHIJJAH TAHUN 10 HIJRAH, DI LEMBAH URANAH, GUNUNG 'ARAFAH
"Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan !!! Aku
tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas
tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan
sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini
sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai
amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada
pemiliknya yang berhak.
Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang
lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahwa sesungguhnya kamu akan
menemui Tuhan kamu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala
amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang
melibatkan riba' hendaklah dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah
terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa
untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah
supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai
manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka
juga mempunyai atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan mereka ke atas
kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam
suasana kasih sayang.
Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik! dan
berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah
teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah
mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke
dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia,
dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah,
dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di Bulan Ramadhan,
tunaikanlah zakat dan harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji
sekiranya mampu.
Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara
kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak ada seorangpun
yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh.
Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk
dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kamu lakukan. Oleh itu,
awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari
landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada
lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir
agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah
kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.
Sesungguhnya aku
tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh
dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat
selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang
yang mendengar ucapanku ini menyampaikannya pula kepada orang lain dan
hendaklah orang yang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain dan
begitu seterusnya.
Semoga orang yang terakhir yang menerimanya
lebih memahami kata-kataku ini dari mereka yang mendengar terus dariku.
Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada
hamba-hamba- Mu. "
No comments:
Post a Comment