Monday, June 17, 2013

MASALAH DI SYRIA - kenyataan PMRAM

17.6.2013 ; Sekadar mencatit kenyataan PMRAM ini untuk di kongsi dan rekod  keperihatinan  terhadap nasib umat Islam di Syria ...

KONFLIK DI SYRIA : KERAJAAN MALAYSIA PERLU BERTINDAK TEGAS TERHADAP SYRIA

Mengikuti perkembangan terbaru Syria hari ini sungguh menyayat hati. Saban hari berita rakyat Syria disembelih, dirogol, dibunuh dan diseksa tersebar luas di internet. Namun masih ada dikalangan orang Islam yang masih tidak mempedulikan nasib saudara seakidah mereka yang lain. Sedangkan Nabi Muhammad SAW pernah bersabda :

مثل المؤمنين فى توادهم وتعاطفهم وتراحمهم كمثل الجسد الواحد, إذا اشتكى منه عضو تداعى له سائر الجسد بالسهر والحمى

Maksudnya : "Perumpamaan orang yang beriman dalam keadaan berkasih sayang itu diumpamakan seperti seperti badan yang satu. Apabila salah satu anggota badan terasa sakit, maka seluruh anggota badan yang lain turut meraikan kesan tersebut." (Riwayat Imam Bukhari, Imam Muslim dan Imam Ahmad)

Dunia hari ini seolah-olah diam membisu seribu bahasa. Tidak ada inisiatif dan tindakan yang drastik telah diambil oleh mana-mana pertubuhan antarabangsa dalam menyelesaikan konflik dan isu yang berlanjutan di Syria ini. Sudah lebih 100 ribu nyawa telah terkorban hasil daripada tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan rejim Basyar al-Assad sepanjang tempoh dua tahun ini. Sampai bilakah dunia ingin melihat kesengsaraan rakyat Syria ini barulah tindakan akan diambil?

Lebih menyedihkan lagi, masyarakat Malaysia juga tidak mengetahui secara tepat konflik yang berlaku di Syria. Bahkan media massa yang wujud pada hari ini tidak memainkan peranan mereka yang sebenarnya dalam menyampaikan maklumat yang sahih kepada rakyat.

Bukan itu saja, bahkan isu Syria ini seolah-olah disembunyikan daripada pengetahuan rakyat, kalau ada sekalipun ianya terlalu sedikit jika hendak dibandingkan dengan apa yang berlaku sekarang ini. PMRAM juga bersama membidas sikap segelintir syarikat penyiaran yang tidak teliti dalam menterjemah dan membuat ulasan sehingga tersasar daripada maksud asal yang membawa kepada silap faham dalam kalangan masyarakat.

Pertubuhan Ulamak Islam Sedunia di bawah pimpinan Dr Yusuf al-Qardhawi telah mengisytiharkan jihad terhadap kerajaan Syria. Begitu juga dengan Syeikh Afifi dalam khutbah Jumaat beliau di Masjid Amru Ibn al-'As yang lepas, serta kesatuan Ulama' yang lain dengan lantang menyatakan tuntutan berjihad di bumi Syria bagi membebaskan negara tersebut daripada kekejaman dan kezaliman pemerintah Basyar al-Asad yang semakin menggila membunuh rakyat sendiri.

Beberapa negara dunia telah mengambil tindakan tegas mereka terhadap Syria. Mesir antara negara yang boleh dipuji di atas keberanian dan tindakan tegas Presiden mereka, Dr Muhammad Mursi memutuskan hubungan diplomatik dengan kerajaan diktator Syria dan mengarahkan kedutaan Syria di Mesir ditutup serta merta, serta mengarahkan wakil kedutaan Mesir di Damsyik pulang.

Mesir juga bersedia untuk memberi bantuan sebaik mungkin dalam membebaskan Syria daripada cengkaman kerajaan Basyar Assad. Ini sebahagian daripada tindakan yang di ambil oleh kerajaan Mesir dalam menyatakan sokongan mereka terhadap perjuangan rakyat Syria.

Namun, PMRAM juga mengharapkan agar kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak turut mengambil tindakan tegas terhadap kerajaan Syria lebih-lebih lagi ia bukan sahaja melibatkan isu kemanusiaan bahkan juga masa depan Umat Islam Sunni di Syria.

Sehingga ke hari ini, rakyat Malaysia masih tidak nampak apakah usaha dan tindakan yang telah dilakukan oleh kerajaan Malaysia dalam menyatakan kebersamaan mereka terhadap perjuangan rakyat Syria.

PMRAM melahirkan kekecewaan di atas perkara tersebut dan mengharapkan agar beberapa tindakan segera dapat diambil bagi membuktikan kita juga bersama rakyat Syria dalam menuntut keadilan dan membebaskan negara mereka daripada cengkaman kuku besi dan kediktatoran pemimpin mereka.

Justeru sebagai gerakan mahasiswa Islam di Mesir ini yang sentiasa mengambil berat, dan prihatin terhadap isu Umat Islam di seluruh dunia, PMRAM mencadangkan beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan antaranya : 

1. Kerajaan Malaysia bertindas tegas memutuskan hubungan diplomatik dengan Syria serta merta sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan Mesir.
2. Menghantar sebarang bentuk bantuan kepada rakyat Syria seperti bekalan makanan, ubat-ubatan dan lain lain.
3. Pihak Media perlulah mengambil berat terhadap isu ini dan teliti dalam menyebarkan maklumat supaya tidak berlaku salah faham. PMRAM bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana syarikat penyiaran bagi menjelaskan isu yang sebenar.
4. Memperbanyakkan kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat dalam pelbagai bentuk sama ada melalui penerangan alternatif, ceramah, forum dan sebagainya.
5. Memperbanyakkan doa, solat hajat dan qunut nazilah.

PMRAM juga mengharapkan agar kita semua sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan supaya sentiasa mendepani isu lebih-lebih lagi isu yang melibatkan Umat dan kesucian agama Islam serta berusaha untuk membantu sebaik mungkin.

"MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN"

Abdul Aziz Bin Ali
Presiden
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 2013

No comments:

Post a Comment